Mitos-Kunyit-Hitam

Mitos Masyarakat Melayu berkenaan kunyit hitam

Terdapat banyak mitos di kalangan masyarakat Melayu mengenai kunyit hitam ini. Kunyit hitam di Malaysia banyak didapati tumbuh meliar di hutan-hutan dan dikatakan banyak terdapat di sekitar Gunung Jerai di Kedah dan Gunung Ledang di Johor. Ini menguatkan lagi kepercayaan masyarakat dahulu memandangkan kedua-dua gunung tersebut terkenal dengan cerita-cerita yang penuh misteri.

Tanaman Orang Bunian

Antara cerita yang popular berkenaan kunyit hitam ini adalah ianya dikatakan sangat berkait rapat dengan masyarakat orang bunian. Dikatakan kunyit hitam dianggap sebagai sesuatu yang sangat berharga melebihi nilai seketul emas bagi golongan mereka. Malah mereka menganggap ianya sebagai satu simbol kekayaan dan kekuasaan.

Kebanyakkan para pengamal perubatan tradisional memperolehi kunyit hitam ini melalui pemberian seseorang di kalangan orang bunian itu sendiri yang menyerupai nenek kebayan. Benih inilah yang kemudiannya ditanam untuk dibiakkan.

Bagi memastikan keaslian kunyit hitam ini, biasanya ia akan digesel-geselkan di atas tudung periuk nasi yang sedang ditanak. Sekiranya nasi bertukar warna menjadi ungu kehitaman, ternyata kunyit hitam itu adalah yang asli.

Penanda sempadan

Kunyit hitam juga dikatakan ditanam untuk menanda sempadan kekuasaan wilayah masyarakat bunian tersebut. Oleh itu, tidak hairanlah masyarakat Melayu dahulu sangat berhati-hati untuk mengambil kunyit hitam ini apabila ianya dijumpai.

Namun yang pasti kebiasaanya kunyit hitam ini sangat susah untuk dibiakkan dan hanya terhad kepada satu perdu seorang sahaja. Sekiranya tidak dijaga dengan elok, kunyit hitam ini sangat senang untuk pupus. Tidak tahulah samada ia sememangnya pupus sendiri ataupun diambil semula oleh nenek kebayan tadi.

Kesimpulan

Begitulah mitos kepercayaan masyarakat Melayu dahulu mengenai kunyit hitam ini dan terus menjadi sebahagian daripada cerita misteri yang belum terungkap penyelesaiannya. Betul ke tidak, Wallahualam..Yang pastinya kunyit hitam ini terlalu banyak khasiatnya kepada manusia dan pihak MARDI telah pun berjaya membiakkannya secara kormesial untuk dimanfaatkan kepada orang ramai.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *